Destinasi Percutian, Taman Negara Bako


Taman Negara tertua di Sarawak dibuka pada tahun 1957, meliputi kawasan seluas 27 km persegi, dan terletak lebih kurang 37km dari bandaraya Kuching. Ia terkenal dengan pemandangan semula jadi yang menakjubkan, tumbuhan dan hidupan liar.

Ciri paling penting di sini adalah kawasan terlindung yang terpencil dan tanjung tinggi berbatu dengan cenuram curam yang mengagumkan menghadap Laut China Selatan.

Tempias laut, pukulan ombak dan angin juga mengukir indah gerbang laut dan tunggul laut di dasar cenuram, dengan beberapa yang kelihatan seperti kepala ular.

Batu pasir yang terbentuk di atas cenuram dengan corak besi kemerahan nampak begitu menarik. Di kawasan pedalaman terdapat air terjun yang menjunam turun ke dalam kolam air dengan pemandangan hutan yang begitu mempersonakan.

Bako mempunyai pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan spesis tanaman, dan ini merupakan salah satu tarikan di sini. Hampir semua jenis tumbuhan yang terdapat di Borneo boleh ditemui di Bako.

Bako juga didiami oleh hampir 275 monyet proboscis yang jarang ditemui, dan hanya terdapat di Borneo. Masa terbaik untuk melihat hidupan liar di Bako adalah selepas waktu subuh dan sebelum senja, ketika haiwan sedang aktif. Bako adalah tempat yang menarik untuk mengkaji burung, dengan hampir 150 spesis burung telah direkodkan di sini.

Sistem laluan yang luas di Bako terdiri daripada 16 laluan hutan berkod warna yang menawarkan pelbagai pilihan untuk berjalan kaki dan mendaki. Mereka yang sukakan cabaran boleh memilih untuk mendaki hutan sepanjang hari atau menyertai ekspedisi perkemahan semalaman, manakala bagi mereka yang tidak gemarkan aktiviti lasak boleh memilih untuk berjalan kaki di denai hutan.
Panduan Perjalanan

Laluan Darat

Bus Petra Jaya Nombor 6 dan bas mini harian bertolak dari Kuching ke Kampung Bako, sebuah perkampungan nelayan yang cantik. Anda juga boleh menaiki teksi ke Kampung Bako (Bako Village).

Menaiki bot

Dari situ anda perlu menyewa bot untuk ke Taman. Perjalanan menaiki bot ini merupakan suatu pengembaraan tersendiri, dengan pengemudi bot yang mahir dan berpengalaman membawa penumpang pada kelajuan tinggi.

Sila Hubungi


Kuching North City Hall
Telefon: 6082-446688
 
Copyright © 2006 Viral Terkini - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info